25 January 2022

Permohonan Urus Kini Dilanjutkan

Press Release

Kuala Lumpur, Selasa, 25 Januari 2022 - Persatuan Bank Bank Dalam Malaysia (ABM), Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Kewangan Malaysia (ADFIM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ingin mengumumkan bahawa tarikh tutup permohonan Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) kini dilanjutkan daripada 31 Januari 2022 kepada 31 Mac 2022. Pelanggan B50 yang layak dan memerlukan bantuan kewangan selanjutnya boleh memohon URUS dengan bank mereka hingga 31 Mac 2022.

Pelanggan individu yang berada di bawah program bantuan bayaran balik pinjaman sedia ada yang ditawarkan oleh bank-bank setakat 30 September 2021 dan memenuhi semua kriteria yang berikut boleh memohon URUS:

  • Pelanggan B50 dengan pendapatan isi rumah kasar sebanyak RM5,880 atau kurang;
  • Pelanggan B50 yang:
    • hilang pekerjaan; atau
    • mengalami pengurangan pendapatan sekurang-kurangnya 50%; dan
  • Mempunyai pinjaman/pembiayaan berbayar (tanpa tunggakan melebihi 90 hari) pada tarikh permohonan URUS.

Pelanggan yang layak dan ingin memohon URUS boleh berbuat demikian melalui saluran perbankan Internet atau perbankan melalui telefon atau terus ke cawangan bank mereka. Bagi memudahkan proses permohonan, pelanggan yang mempunyai pinjaman/pembiayaan kewangan daripada berbilang bank hanya perlu membuat permohonan melalui salah satu bank tempat mereka mempunyai pinjaman/pembiayaan berbayar serta berada di bawah program bantuan bayaran balik yang sedia ada.

Selain itu, tarikh tutup permohonan URUS bagi pelanggan B50 yang layak dan telah mendaftar untuk program bantuan banjir daripada bank-bank telah dilanjutkan kepada 31 Julai 2022 atau apabila berakhirnya program bantuan banjir tersebut, mana-mana yang lebih awal. Untuk mendapatkan butiran lanjut, sila rujuk Soalan Lazim mengenai URUS melalui laman sesawang dan cawangan bank serta melalui laman sesawang persatuan-persatuan perbankan dan AKPK.

Bank-bank terus komited untuk membantu pelanggan mereka dalam tempoh yang mencabar ini, dan sedar bahawa pelanggan memerlukan masa untuk bangkit semula dari segi kewangan apabila keadaan ekonomi beransur-ansur pulih. Pelanggan yang masih memerlukan bantuan kewangan tetapi tidak layak untuk menyertai URUS digalakkan menghubungi bank masing-masing bagi membincangkan pengaturan bayaran balik pinjaman lain yang boleh disesuaikan dengan keadaan kewangan mereka.

Kami ingin mengingatkan para pelanggan supaya tidak berurusan dengan mana-mana pihak ketiga yang mendakwa sebagai ejen/wakil bank berhubung dengan hal-hal bantuan bayaran balik pinjaman. Bank-bank dan AKPK tidak melantik atau membenarkan mana-mana pihak ketiga atau ejen sebagai wakil mereka untuk tujuan ini.

Mengenai Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM)

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dianggotai oleh 26 bank perdagangan yang beroperasi di Malaysia. Objektif utama ABM ialah untuk mempromosikan pewujudan sistem perbankan yang kukuh melalui kerjasama dan perundingan dengan badan pengawal selia. Berpandukan penyataan misi ABM, “Memupuk kefahaman orang ramai demi industri perbankan yang bertanggungjawab dan responsif”, ABM memainkan peranan sebagai perantara penting antara pelanggan perbankan dan bank anggotanya. ABM bermatlamat untuk memudahkan dan mewujudkan persekitaran perbankan yang berdaya saing dan kondusif di samping menggalakkan amalan perbankan yang beretika dan teratur. Untuk maklumat lanjut, layari www.abm.org.my.

Mengenai Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM)

Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) ditubuhkan pada 1995. AIBIM kini dianggotai oleh 27 bank, 12 daripadanya bank tempatan, lima institusi kewangan pembangunan dan 10 bank asing yang diperbadankan di Malaysia. AIBIM mempromosi sistem dan amalan perbankan Islam yang kukuh di Malaysia; mewakili kepentingan ahli di dalam dan di luar negara; memberikan nasihat dan bantuan kepada para ahli dalam pembangunan perbankan dan kewangan Islam di peringkat tempatan, serantau dan global; menyelaras inisiatif pembangunan modal insan, serta meningkatkan kesedaran awam. Untuk maklumat lanjut, layari www.aibim.com.

Mengenai Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM)

ADFIM ditubuhkan pada 12 Januari 1981 dengan hanya 10 anggota dan kini anggotanya terdiri daripada 16 organisasi dengan matlamat untuk meningkatkan ilmu, kepakaran dan kecekapan dalam semua aspek pembangunan kewangan dan penyelidikan dalam kalangan anggotanya. ADFIM juga bertujuan untuk mewujudkan pembentukan struktur institusi yang kukuh bagi pembiayaan pembangunan dan menggalakkan amalan yang mantap dalam perniagaan serta profesion pembiayaan pembangunan dan perbankan pembangunan di Malaysia.

Anggota ADFIM terbahagi kepada dua kumpulan utama, iaitu:-

  1. Institusi Pembangunan Kewangan (Development Finance Institutions, DFI) yang terdiri daripada lima bank di bawah Akta Institusi Pembangunan Kewangan 2002 iaitu Agrobank, Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Bank Simpanan Nasional, Bank Rakyat dan SME Bank. Tujuh DFI lagi berada di bawah penyeliaan pelbagai kementerian dan agensi Kerajaan termasuk Perbadanan Pembangunan Borneo (Sabah), Perbadanan Pembangunan Borneo (Sarawak), Credit Guarantee Corporation, Malaysian Industrial Development Finance, Bank Pembangunan Sabah, Sabah Credit Corporation dan Bank Pembangunan Sarawak Berhad.
  2. Organisasi Pembangunan Usahawan (EDO) termasuk Perbadanan Nasional Berhad, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Majlis Amanah Rakyat and Malaysian Technology Development Corporation.

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.adfim.com.my.

Mengenai Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) merupakan sebuah agensi yang ditubuhkan oleh Bank Negara Malaysia pada bulan April 2006 untuk membantu individu mengawal keadaan kewangan mereka dan mendapat ketenangan minda hasil daripada penggunaan kredit secara bijak. AKPK komited dalam memperkasakan masyarakat iaitu isi rumah dan Perusahaan Kecil & Sederhana (PKS) supaya mempunyai tahap kewangan yang berdaya tahan melalui pendidikan kewangan, khidmat nasihat kewangan serta khidmat pengurusan kredit yang tertumpu pada pelanggan. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.akpk.org.my.