Alliance Bank Malaysia Berhad (“Alliance Bank” atau “Bank”) sentiasa mengukuhkan langkah-langkah keselamatan menurut lima langkah utama bagi memerangi penipuan kewangan seperti yang diumumkan oleh Bank Negara Malaysia (“BNM”).
Sebagai sebahagian daripada inisiatif kami yang berterusan dalam mengesan dan mencegah penipuan, transaksi pelanggan diawasi dalam masa sebenar. Bank akan menghubungi pelanggan melalui panggilan telefon atau SMS bagi sebarang transaksi yang mencurigakan. Kami juga menyediakan bantuan 24 jam melalui talian hotline khusus untuk melaporkan penipuan. Para pelanggan digalakkan untuk menghubungi 03-5516 9800 dengan segera jika mereka melihat sebarang transaksi perbankan yang mencurigakan. Sebagai alternatif, pelanggan boleh menghubungi talian Khidmat Pelanggan kami di 03-5516 9988 (perbankan pengguna) atau 1300-80-3388 (perbankan perniagaan).
Untuk meneruskan usaha mendidik dan meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelanggan, kami menyiarkan maklumat tentang potensi penipuan dan pemalsuan secara kerap melalui laman web, Facebook, Instagram serta platform allianceonline dan Alliance BizSmart® Online Banking kami.
Pada masa yang sama, kami sedang memindahkan semua pelanggan allianceonline kami daripada SMS Kata Laluan Sekali Sahaja (“OTP”) untuk pengesahan transaksi perbankan internet kepada kaedah pengesahan Mobile Secure Approval (MSA) berbilang faktor yang lebih selamat melalui aplikasi perbankan mudah alih pengguna kami (allianceonline mobile). Untuk pengguna Alliance BizSmart® Online Banking kami, penggunaan TAC SMS akan ditukar kepada pengesahan melalui pemberitahuan terus daripada aplikasi Alliance BizSmart® Mobile. Langkah ini akan menangani risiko keselamatan yang dihadapi oleh industri pada hari ini yang dikaitkan dengan SMS OTP yang bersifat sementara dan kurang selamat untuk mengesahkan transaksi dan perkhidmatan kewangan perbankan internet.
Para pelanggan dinasihatkan untuk sentiasa berjaga-jaga dan menyedari tentang pemberitahuan ini supaya kekal dikemaskinikan tentang pendekatan penipuan yang terkini bagi melindungi diri mereka.